Sumber Maklumat Terkini

23 November 2022

Cikgu Shukri MB Perlis baharu

 


Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis.

Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pada jam 9 pagi.

Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan 'Cikgu Shukri' berkata, beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

"Ini adalah pengalaman baharu...bermulalah dunia baharu selepas lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru," katanya kepada media, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata, beliau sudah menghantar nama barisan EXCO Kerajaan Perlis kepada PN pusat semalam.

"Kita tunggu lampu hijau daripada PN pusat dulu untuk buat keputusan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, semalam.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Sumber : BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.