Sumber Maklumat Terkini

22 November 2022

Fahami fenomena Parlimen tergantung

 


Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan pelbagai sejarah baharu. Paling jelas, buat pertama kali PRU di Malaysia tidak menghasilkan mana-mana parti dominan yang memperoleh cukup kerusi untuk mencapai majoriti mudah.

Ini mewujudkan kemelut yang berlanjutan. Sehingga hari ini, empat hari selepas berakhirnya PRU15, belum ada mana-mana parti politik yang diangkat sebagai kerajaan.
Rakyat pastinya gelisah dengan situasi ini namun yang paling penting, rakyat perlu faham apa yang berlaku.

Seperti biasa, Relevan akan cuba menjelaskan kekeliruan yang ada. Maka, berikut merupakan enam perkara yang anda perlu tahu bagi memahami krisis yang berlaku.

Majoriti mudah

Kemenangan majoriti mudah bermaksud satu-satu gabungan atau parti politik berjaya memperoleh kerusi lebih separuh daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya.

Dalam kes Malaysia, garisan majoriti mudah untuk PRU ialah 112 kerusi Parlimen. Untuk setiap negeri pula berbeza, bergantung kepada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Mana-mana gabungan atau parti politik yang dapat memenangi lebih daripada 112 kerusi secara lazimnya akan menjadi kerajaan, seperti yang berlaku dalam 14 PRU sebelum ini.

Situasi PRU sebelum ini lebih mudah kerana hanya melibatkan pertembungan besar antara dua gabungan politik. Contohnya, Pakatan Harapan (PH) menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Dalam PRU15, situasinya lebih rumit kerana persaingannya melibatkan tiga gabungan utama, iaitu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN). 

Hasilnya, tiada gabungan yang berjaya memperolehi majoriti mudah. Ini mewujudkan fenomena Parlimen tergantung seperti yang berlaku sekarang.

Kedudukan kerusi
PRU15 berakhir dengan PH mendapat kerusi tertinggi namun belum mencukupi untuk melintasi garisan majoriti mudah.

Disebabkan tidak ada gabungan prapilihan raya yang memperoleh majoriti mudah, Parlimen ketika ini dalam keadaan tergantung..

Parlimen tergantung

Mengapa dinamakan Parlimen tergantung? Kerana dalam situasi ini, fungsi perundangan Parlimen tidak dapat dijalankan lagi.

Sedikit ulang kaji. Sistem pemerintahan Malaysia berasaskan doktrin pengasingan kuasa yang memecahkan pemerintahan kepada tiga badan yang berfungsi secara berasingan, iaitu badan perundangan (legislatif), pentadbiran (eksekutif) dan kehakiman (judisiari).

PRU diadakan untuk rakyat memilih wakil mereka dalam badan perundangan.

Dalam badan perundangan, perlu ada kerajaan dan pembangkang. Dalam situasi sekarang, belum ada mana-mana pihak yang boleh digelar kerajaan lagi, maka tiada jugalah pembangkangnya. Mereka mahu bangkang siapa kalau kerajaan pun tiada.

Itu maksud Parlimen tergantung. Ahli-ahli Parlimen telah dipilih tetapi belum ada kerajaan mahupun pembangkang lagi. Kedudukan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pun belum dapat ditetapkan.

Proses pemilihan kerajaan

Menurut Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kerajaan yang dianggotai oleh Jemaah Menteri bermula dengan pelantikan seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43 (2) (a) menyatakan, “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu…”.

Jika anda membaca berita tentang titah Yang di-Pertuan Agong meminta ketua parti mengemukakan gabungan politik yang memperolehi majoriti mudah, itu merupakan proses yang merujuk kepada Perkara 43 (2) (a).

Perlu ada seorang ahli Dewan Rakyat yang memenangi pilihan raya baru-baru ini tampil dengan bukti sokongan parti politik dengan kerusi yang cukup untuk mencapai majoriti mudah. Dia seterusnya akan dilantik sebagai Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan Malaysia yang baharu.

Seterusnya, Perdana Menteri akan mengemukakan nama-nama cadangannya untuk dilantik sebagai Jemaah Menteri kerajaan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 43 (2) (b).

Di Parlimen nanti, blok kerajaan akan dianggotai oleh Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan ahli Parlimen penyokong kerajaan. Blok pembangkang pula ada Ketua Pembangkang dan ahli Parlimen pembangkang.

Pakatan politik pascapilihan raya
Oleh sebab pakatan politik prapilihan raya tidak berjaya mendapatkan majoriti mudah, terdapat keperluan untuk gabungan dan parti politik membentuk pakatan politik pascapilihan raya.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin pada 20 November lalu, gabungan parti politik yang mempunyai cukup sokongan perlu mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Setakat 21 November, terdapat dua pakatan pasca-PRU15 yang berkemungkinan dibentuk. Pertama, gabungan antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Parti Warisan yang mempunyai 115 kerusi keseluruhan.

Kedua, gabungan antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Bangsa Malaysia yang mempunyai keseluruhan 134 kerusi.

Walau bagaimanapun, disebabkan Barisan Nasional telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk tidak menyokong mana-mana gabungan, baik Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan, maka ada kemungkinan kerajaan minoriti akan dibentuk.

Apa pula maksud kerajaan minoriti?

Bentuk kerajaan

Walaupun Parlimen tergantung, kerajaan tetap perlu dilantik bagi menjalankan kuasa eksekutif selepas ini. 

Mengambil contoh pengalaman Parlimen United Kingdom (UK), terdapat tiga bentuk kerajaan yang boleh dilantik, iaitu:
  • Kerajaan minoriti
Kerajaan ini tidak bergabung dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan, sebaliknya kekal dengan jumlah kerusi yang ada. Walau bagaimanapun, beberapa bentuk perjanjian boleh diusahakan bersama parti lain bagi menjamin kestabilan kerajaan dan mengelakkan undi tidak percaya serta penolakan terhadap rang undang-undang (RUU) yang penting di Parlimen.
  • Perjanjian rasmi antara parti/gabungan 
Kerajaan ini akan menggubal sebuah perjanjian rasmi bagi menjamin sokongan parti lawan kepada kerajaan. Ini bagi mengelakkan kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti disingkirkan dengan mudah melalui undi tidak percaya.
  • Kerajaan gabungan rasmi
Kerajaan ini menggabungkan beberapa parti yang tidak berpakat sebelum pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Dalam kerajaan ini, ahli dari parti berbeza boleh dilantik menganggotai jemaah menteri.

Setakat ini, ketiga-tiga bentuk kerajaan ini boleh diwujudkan bagi memecah kebuntuan politik negara. 

Apa pun kerajaan yang dibentuk, mereka yang memegang kuasa perlu segera menyusun strategi bagi membebaskan Malaysia daripada krisis ekonomi yang dijangka melanda tahun hadapan dan mengukuhkan semula perpaduan dalam kalangan rakyat. 

Sumber : RELEVAN


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.