Sumber Maklumat Terkini

18 November 2022

JaminKerja sedia peluang 600,000 belia menganggur

 


Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) adalah satu program dilaksanakan kerajaan yang menyediakan peluang pekerjaan secara lebih menyeluruh dengan memastikan tiada golongan dipinggirkan.

Menerusi program itu, kerajaan menjangkakan lebih 600,000 peluang pekerjaan akan diisi belia seluruh negara.

Ia juga sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran serta memacu ekonomi negara dengan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan pasaran buruh.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika merasmikan Inisiatif JaminKerja, berkata tiga program utama disediakan iaitu insentif penggajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan sasaran 300,000 peluang pekerjaan.

Selain itu, inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan strategik serta JaminKerja.

Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 pelatih.

Bagi JaminKerja insentif penggajian pula memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan membuat pengambilan pekerja, terutama dalam kalangan individu tidak aktif bekerja.

Antaranya, golongan penganggur, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan.

Insentif kepada majikan

Selepas majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Insentif itu turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisi jawatan yang kebiasaannya dilakukan pekerja asing ataupun pegawai dagang.

Dengan situasi negara ini sedang ke fasa pemulihan selepas berdepan COVID-19 dua tahun lalu, Mohd Effendy berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu akan merancakkan sektor pekerjaan di negara ini.

"Apabila sektor pekerjaan kembali rancak dan perniagaan mencipta keuntungan, MTUC percaya majikan akan mula mengambil pekerja dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Ini tidak mustahil dilaksanakan dan diharapkan pandangan sektor pekerjaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MTUC akan terus dilibat urus dalam melaksanakan inisiatif ini," katanya.

Pelajar Tingkatan Enam, Mohd Fazrul Ezam Mohamaed Zahabar, 22, berkata program seumpama itu amat digalakkan terutama kepada pencari kerja yang menetap jauh dari ibu kota.

Katanya, bantuan mobiliti antara RM500 hingga RM1,000 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin juga dapat digunakan individu berkenaan sebelum menerima gaji pertama.

"Inisiatif diberikan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kami, terutama yang mencari kerja jauh dari tempat tinggal. Saya bersyukur inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ini sekali gus menjaga kebajikan rakyat.

"Diharapkan usaha dan inisiatif seperti ini dapat diperbanyakkan lagi, tidak kira dari segi bantuan kewangan, mobiliti serta kemudahan lain. Ia dapat membantu kami untuk memulakan hidup sebagai pekerja.

"Terima kasih kepada kerajaan dengan pelbagai inisiatif yang diberikan dalam membantu pencari kerja," katanya


Sumber : Berita Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.