Sumber Maklumat Terkini

8 November 2022

Orang ramai saksi keindahan fenomena gerhana bulan

 


Orang ramai di beberapa kawasan di negara ini dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923 kilometer (km).

Berdasarkan perkongsian orang ramai menerusi Live Facebook (FB) Planetarium Negara malam ini, gerhana bulan itu dapat dilihat dengan jelas di beberapa kawasan di Sabah termasuk di Sepitang, Semporna, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Turut dikongsikan netizen di media sosial, gerhana bulan itu turut dilihat dengan jelas di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu serta Alor Setar, Gurun, Jitra dan Pulau Langkawi di Kedah.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan kawasan yang dilanda hujan dan cuaca mendung termasuk sekitar Lembah Klang serta di Johor dan Negeri Sembilan, fenomena gerhana bulan itu tidak dilihat dengan jelas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Plenatarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, berkata gerhana bulan penuh mula berakhir pada jam 7.41 malam tadi.

"Bulan mula menjadi cerah semula, sedikit demi sedikit dan kita mula melihat gerhana bulan separa mulai 7.41 malam hingga 8.41 malam iaitu selepas gerhana bulan penuh," katanya dalam ulasan menerusi FB Live Planetarium Negara malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan cerapan gerhana yang berlaku malam ini, menunjukkan persekitaran atmosfera bumi ketika ini masih baik.

"Kemerahan yang kita dapat lihat pada gerhana bulan itu adalah tanda bahawa atmosfera bumi kita sebenarnya masih baik. Jika gerhana bulan kelihatan gelap, itu menunjukkan atmosfera kita tercemar. Maka, marilah kita bersama menjaga bumi kita," katanya.

Katanya, fenomena dan keindahan gerhana bulan boleh dirakam sendiri oleh orang ramai menggunakan telefon pintar selain menggunakan teleskop untuk mendapat gambar yang lebih jelas dan terang.

Terdahulu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini memaklumkan, di Malaysia, fenomena gerhana bulan penuh berlaku mulai jam 4.02 petang dan berakhir pada jam 9.56 malam.

MYSA menjelaskan fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Menurutnya, gerhana bulan penuh ini adalah 'central lunar eclipse', iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera bulan melalui paksi bayang umbra bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra bumi.

Menurut MYSA, fenomena gerhana bulan penuh tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.

"Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena itu apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada jam 9.56 malam," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.