Sumber Maklumat Terkini

25 November 2022

Piala Dunia 2022 - Dua gol pantas bantu Portugal benam Ghana

 


Portugal akhirnya berjaya mengakhiri badi perlawanan pertama Piala Dunia apabila menumpaskan Ghana 3-2 dalam aksi Kumpulan H di Stadium 974.

Berdasarkan rekod dalam tiga penampilan edisi lalu, Portugal seakan kurang bernasib baik pada aksi pembukaan peringkat kumpulan apabila hanya mencatatkan dua keputusan seri dan kalah sekali.

Walaupun masih segar dengan berita penamatan kontrak secara persetujuan bersama dengan Manchester United, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo jelas tidak terkesan apabila masih mampu mengetuai rakan sepasukannya kutip tiga mata penting.

Tempoh dua minit di hujung permainan nyata menjadi detik paling mengecewakan buat Ghana selepas gagal mempertahankan gawang daripada dibolosi apabila Portugal berupaya meledak dua gol pantas.

Apa yang dipersembahkan pada perlawanan kali ini begitu menyerlahkan misi besar skuad Selecao untuk menamatkan badi dengan berjaya menguasai 69 peratus permainan sepanjang babak pertama.

Seawal minit ke-9, Portugal sepatutnya sudah mampu berada di depan sebaliknya kepantasan penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi untuk keluar daripada posisinya berjaya menghalang usaha dilakukan Ronaldo.

Kegagalan itu tidak merencatkan penguasaan Portugal dan minit ke-31, Ronaldo akhirnya berjaya menggegar jaring gawang lawan sebaliknya jaringan itu dibatalkan selepas dikesan melakukan kekasaran terhadap pertahanan lawan, Alexander Djiku.

Ketika Portugal terus mempamerkan penguasaan, Muhammed Kudus hampir meletakkan Ghana di depan sebaliknya percubaannya pada minit ke-56 sedikit serong ke sebelah kiri gawang lawan.

Pengadil bertugas, Ismail Elfath menghadiahkan penalti buat Portugal selepas Mohammed Salisu mengasari Ronaldo dan peluang keemasan pada minit ke-65 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh pemenang Ballon d’Or lima kali berkenaan.

Minit ke-73, kedudukkan kembali seimbang apabila Ghana memperoleh gol penyamaan menerusi Andre Ayew namun kegembiraan itu hanya bertahan lima minit selepas Joao Felix kembali meletakkan Portugal di depan.

Selang dua minit selepas itu, Rafael Leao menambah jaringan buat Portugal dan walaupun Ghana memperoleh gol kedua daripada Osman Bukari pada minit ke-89, ia jelas sudah pun terlewat.

Awal pagi Selasa ini, Portugal akan meneruskan aksi kedua Kumpulan H dengan menentang lawan lebih sukar, Uruguay di Stadium Lusail. 

Sumber : KOSMO!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.