Safawi Rasid sah bergelar suami Syifa Melvin

 


Dengan sekali lafaz, pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid selamat bernikah dengan wanita pilihan yang juga pempengaruh popular, Syifa Melvin sekitar pukul 8.46 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Ustaz Khairil Nizam sambil disaksikan oleh bapa Syifa sendiri iaitu Amirol Melvin Abdullah.

Safawi atau nama sebenarnya, Muhammad Safawi Rasid, 27, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin berlian kepada Syifa, 28, manakala wang hantaran tidak didedahkan.

Pada majlis pernikahan berkonsep dalam taman tersebut, pasangan mempelai menggayakan persalinan pengantin sedondon berona nude.

Majlis yang dihadiri kira-kita 300 orang tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat tersebut berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Antara rakan selebriti yang turut hadir ialah Syatilla Melvin, Shaheizy Sam, Uyaina Arshad, Nabila Razali, Riena Diana dan Raja Syahiran.

Semalam, Syifa mengharapkan orang ramai tidak terlalu menguar-uarkan tentang majlis pernikahannya dengan Safawi dan hanya mengharapkan doa yang baik-baik.

“Tak payahlah dihebohkan lagi tentang hal ini (perkahwinan dengan Safawi). Saya minta sangat-sangat,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin itu juga masih dengan pendirian tidak mahu mengiyakan mahupun menidakkan perihal terbabit namun mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Kalau betul dah sampai waktunya nanti, anda semua akan tahu. Saya cuma mohon doa yang baik-baik daripada semua agar perhubungan ini mendapat reda Allah SWT,” katanya lagi.

Sebelum itu, majlis perkahwinan yang dikhabarkan sudah dihidu lebih awal oleh penyokong JDT apabila Safawi dikejutkan dengan nyanyian lagu Selamat Pengantin Baru di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, baru-baru ini.

Bayangan perkahwinan pasangan itu diperkuatkan lagi dengan penularan kad undangan perkahwinan bertarikh 3 Disember 2022 milik Syifa dan Safawi yang diterima Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp. 

Sumber : KOSMO! 

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.