Sumber Maklumat Terkini

7 November 2022

Zamani jalani pembedahan tulang belakang

 


Penyanyi Zamani Ibrahim, 51, selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, dekat sini, jam 3.15 petang ini.

Isterinya, Nur Juliana Abd Rani memaklumkan prosedur itu mengambil masa hampir tujuh jam.

"Abang Zamani dimasukkan ke dewan bedah sekitar jam 8 pagi, pembedahan mengambil masa tujuh jam," kongsi Juliana.

Terdahulu, isteri kepada penyanyi Syair Si Pari Pari itu berkongsi perkembangan terkini suaminya menerusi hantaran dalam Instagram (IG).

"Syukur, Alhamdulillah, dengan izin Allah Abang Zamani selamat menjalani pembedahan. Terima kasih atas doa-doa buat Abang Zamani," tulisnya.

Menerusi hantaran itu, Juliana menyertakan gambar bilik pembedahan di mana suaminya menjalani prosedur itu.

Vokalis kumpulan Slam itu memaklumkan, dia perlu ditidurkan sebelum pembedahan dilakukan. Dia juga memerlukan rehat sehingga tiga bulan sebelum kembali bekerja.

"Mengikut penerangan doktor, saya boleh pulih dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada daya ketahanan tubuh.

"Sepanjang tempoh ini, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani latihan fisioterapi.

"Bagaimanapun, saya akan pulih hingga boleh kembali aktif mungkin memakan masa sehingga tiga bulan. Itupun bergantung pada kekuatan antibodi," kata Zamani.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.