Al Rajhi Bank Malaysia lancar bank digital

 


Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) secara rasmi melancarkan Rize, bank digital yang menawarkan perkhidmatan perbankan dan produk kewangan secara terus kepada pelanggan melalui telefon pintar mereka, menggunakan teknologi terbaik dalam industri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arsalaan Ahmed, dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi Rize, ARBM mencapai visinya untuk menubuhkan bank digital yang memberi tumpuan kepada pelanggan dan aspirasi untuk menjadi bank inovasi Islam pertama di Malaysia.

Beliau berkata pada asasnya, Rize adalah bank digital yang bertujuan untuk memberi inspirasi dan memperkasakan pelanggannya untuk mencapai harapan dan impian mereka serta menggalakkan rakan dan keluarga untuk membantu merealisasikan matlamat mereka.

Rize menawarkan perkhidmatan yang meluas kepada pelanggan seperti deposit, pembiayaan peribadi dan permohonan kad debit, termasuk pilihan Pembiayaan Peribadi-I yang boleh disesuaikan.

Dari segi keselamatan, persediaan keselamatan bank digital menggunakan teknologi terkini berasaskan awan dengan pengesahan biometrik.

ARBM, anak syarikat milik penuh bank Islam terbesar di dunia, Al Rajhi Bank Kingdom of Saudi Arabia (KSA), diperbadankan di negara ini pada Oktober 2006. 

Sumber : Bernama


Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.