Nurul Hana Ismail dan Daie Syed bernikah

 


Alunan bacaan maulid sementara menunggu ketibaan pasangan mempelai pada majlis pernikahan pendakwah selebriti, Da’i Syed dan Hana Ismail di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur baru-baru ini benar-benar menyejukkan hati.

Majlis berlangsung sangat sederhana, namun cukup bermakna buat seluruh keluarga pengantin yang menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu.

Hanya dengan sekali lafaz, pendakwah selebriti Syed atau nama lengkapnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful sah bergelar suami kepada Hana Ismail yang merupakan personaliti televisyen.

Pasangan dinikahkan bapa pengantin perempuan, Ismail Dahwan yang melafazkan akad dalam bahasa Arab.

Apa yang menarik, semasa majlis akad, ibu kepada pengantin perempuan tidak dapat menahan sebak melihat anak perempuannya bertukar status bergelar isteri orang.

Kata Hana, ibunya seorang yang mudah tersentuh terutamanya perkara berkaitan anak sama ada pernikahan mahupun hari graduasi.

“Umi tidak menjangka saya akan berkahwin dan mungkin dia terharu dengan apa yang terjadi pada hari ini,’ ujar Hana.

Semasa majlis berlangsung, Hana menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin. Bagaimanapun, wang hantarannya tidak didedahkan.

Impak perkenalan singkat setelah diperkenalkan pelakon Datin Seri Umie Aida, Syed tidak berlengah untuk menyunting Hana yang bukan sahaja cantik bahkan tinggi budi pekerti.

“Banyak keistimewaan yang membuatkan saya memilih Hana. Dia seorang yang cantik, berbudi bahasa dan pekerti. “Dia juga antara orang yang suka ke majlis ilmu dan ini satu kurniaan Allah berikan,” jelas Syed, 27, dalam nada gembira.

Meskipun, pernah terpalit dengan kes mahkamah yang hampir memusnahkan masa depannya, Syed ternyata bertuah saat menemui ketulusan cinta daripada seorang wanita benar-benar yakin untuk hidup bersama dengannya.

“Banyak lagi yang saya kena teroka mengenai Syed tetapi setakat ini saya suka apa yang saya lihat dan dengar. Bagi saya itu cukup baik di mata saya,” ujar Hana ringkas.

Mengakui Syed bukan ciri-ciri lelaki idaman baginya tetapi Hana bersyukur dikurniakan hidayah untuk menerima pendakwah dan penyanyi itu sebagai suaminya.

“Sejujurnya bagi sesiapa yang mengenali saya, Syed bukan lelaki idaman saya.

“Selepas sesi taaruf, saya buat solat istikharah selama seminggu dan terus memberikan kata putus untuk berkahwin dengannya,” kongsi Hana.

Lebih menarik, Syed yang sembilan tahun lebih muda berbanding Hana juga tidak melihat beza usia sebagai penghalang untuk mereka menyatu kasih dalam sebuah bahtera perkahwinan.

“Perbezaan umur tidak menjadi masalah kerana Rasulullah dan Siti Khadijah juga mempunyai jarak usia. Saya anggap jodoh kami sudah sampai.

“Pada awalnya saya tidak percaya dengan umur Hana. Saya kira dia hanya beza lebih atau kurang sebaya dengan saya kerana nampak cantik dan muda,” jelas Syed yang juga pelantun lagu Albi Nadak itu.

Ditanya tentang perancangan bulan madu, Hana menjelaskan, mereka bakal menunaikan umrah bersama pada bulan hadapan.

Dalam kesempatan sama, mereka akan ke Mesir untuk mengunjungi bapa Syed dan ahli keluarga lain di sana.

“Minggu hadapan kami akan ke Sabah untuk mengikuti program dakwah anjuran Pertubuhan Kasih Neelofa. Alang-alang dapat ke sana, saya dapat bawa suami sekali.

“Mungkin dalam masa sebulan kemudian, kami akan melakukan umrah bersama-sama dan berkunjung ke Kaherah.

“Kami akan menziarahi walid (bapa) Syed yang tidak dapat hadir pada hari ini dan ahli keluarganya yang berada di sana,” jelasnya.

Menyedari kerjaya Hana sebagai seorang personaliti televisyen, Syed tidak meletakkan batasan dalam karier isterinya.

“Suami tidak memberikan halangan untuk teruskan apa yang saya buat. Cuma kami bersepakat untuk fokus kepada perniagaan.

“Saya juga ada melahirkan hasrat untuk menjayakan majlis-majlis ilmu di rumah kami kelak,” tambah Hana.

Sama seperti Syed, Hana juga tidak menghalang minat dan kerjaya suaminya dalam dunia seni, terutama muzik dan nyanyian.

“Kehidupan saya akan diteruskan seperti biasa. Saya akan meniaga dan dalam perancangan akan menjalan bisnes baju Melayu pada tahun hadapan.

“Saya tidak akan berhenti menyanyi. Mungkin selepas ini akan mengeluarkan lagu bahasa Arab yang mengajak ke arah kebaikan,” tutup Syed.

Sumber : Kosmo!

https://www.adha.top/2022/07/biodata-hana-ismail.html



Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.