Empangan dunia dalam bahaya


Satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan situasi membimbangkan mengenai empangan di seluruh dunia, lapor portal berita Wion News.

Kajian itu mendapati mendapan besar-besaran sedimen akan mengakibatkan hampir 50,000 empangan besar di seluruh dunia kehilangan lebih satu perempat kapasiti simpanan air menjelang 2050.

Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti PBB (UNU-INWEH) melakukan kajian itu yang diterbitkan pada Rabu lalu. Menurutnya, tindakan perlu diambil bagi menangani masalah tersebut dan melin­dungi infrastruktur penting penyimpanan air.

Kajian sama menyatakan, kelodak mendap di dasar empangan akibat gangguan kepada aliran air semula jadi dan ia boleh mengakibatkan kerosakan pada turbin hidroelektrik serta menjejaskan penjanaan kuasa.

Penyelidikan PBB itu memberi amaran bahawa sedimen yang mendap telah ‘merompak’ air di kira-kira 50,000 empangan besar di seluruh dunia dengan anggaran antara 13 peratus hingga 19 peratus daripada keseluruhan kapasiti penyimpanan yang asal.

Jumlah kerugian itu dijangka mencecah antara 23 peratus hingga 28 peratus menjelang 2050.

Institut PBB itu berkata, empangan di seluruh dunia dijangka berdepan kerugian disebabkan kehilangan kapasiti asal menjelang pertengahan abad ini. Angka kerugian itu adalah daripada 6,300 bilion meter padu (m3) kepada 4,650 bilion m3 pada tahun 2050.

Perbezaan sebanyak 1,650 bilion m3 air itu secara amnya bersamaan dengan penggunaan air setahun di India, China, Indonesia, Perancis dan Kanada.

Kajian sama menunjukkan bahawa Britain, Panama, Ireland, Jepun dan Seychelles akan mengalami kerugian simpanan air tertinggi menjelang 2050.

Dr. Duminda Perera yang merupakan penulis kajian itu bersama Pengarah UNU-INWEH, Vladimir Smakhtin dan Spencer Williams daripada Universiti McGill di Montreal, Kanada berkata: “Penurunan simpanan air menjelang 2050 di semua negara dan wilayah akan mencabar banyak aspek dalam ekonomi

sesebuah negara termasuk pengairan, penjanaan kuasa dan bekalan air”.

“Empangan baharu yang sedang dibina atau dirancang untuk dibina, tidak akan dapat mengimbangi kehilangan simpanan air disebabkan mendapan. Artikel ini membunyikan penggera tentang cabaran air global yang memberikan implikasi kepada pembangunan,” tambah Perera. 

Sumber : AGENSI

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.