Guru subjek kritikal kurang, KPM buka peluang kepada graduan universiti swasta

 


Kementerian Pendidikan (KPM) mempertingkat sinergi dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.

“Bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal, KPM bersama-sama SPP telah memperkasakan kaedah yang lebih strategik dalam urusan pengambilan guru baharu.

“Pengambilan juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal yang calonnya sukar didapatkan dari universiti awam, seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi dan Pendidikan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Terdahulu, langkah itu antara 10 prakarsa yang diumumkan beliau yang menjadi fokus baharu Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya pelbagai kaedah strategik yang dilaksanakan masih gagal memenuhi kekosongan, maka pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan.

“Guru-guru lantikan CoS ini akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun sebelum dilantik tetap oleh SPP.

“KPM dan SPP akan sentiasa mengenal pasti pendekatan strategik lain dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti dan kompetensi guru baharu,” katanya.

Sumber : KOSMO!

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.